PROJEK GEMILANG

Projek Gemilang di SKSB adalah terdiri daripada :

1.Kelab Boling

Kelab Bowling SKSB ditubuhkan bagi memupuk minat dan mendedahkan pelajar dengan kemahiran bermain bowling. Ia dijalankan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia,Lumut. Kemudahan latihan yang disediakan oleh tenaga pengajar dari TLDM membolehkan pelajar menguasai dengan kemahiran bermain bowling dengan pantas.

2. Kelab Renang
Kelab Renang SKSB ditubuhkan pada tahun 2005 dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak. Terdapat 30 orang pelajar yang menyertai kelab ini. Kemudahan kolam renang dan tenaga pengajar disediakan oleh pihak TLDM  . Pelajar-pelajar yang menyertai kelab ini akan pergi ke kolam renang dengan bas yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Mereka akan menjalani latihan renang seminggu sekali selama 3 jam. 

3. Kelab Memanah
Kelab memanah SKSB telah ditubuhkan atas dorongan Guru Besar SKSB, Tuan Haji Ahmad Dalail bin Mohd. Rakim pada Januari 2008 dengan bilangan ahli seramai 14 orang. Kelab ini bertujuan memupuk semangat mempertahankan diri di samping semangat kesukanan di kalangan pelajar. Kerjasama dan hubungan yang erat dengan pihak Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia telah membolehkan SKSB mengundang dua orang tenaga pengajar untuk melatih dan membimbing pelajar dalam kelab ini. 

4. Kelab Silat
Kelab Seni Silat Olahraga SKSB telah ditubuhkan pada Jun 2008 atas hasrat dan saranan Pengarah Pelajaran Negeri Perak. Ia juga sebagai salah satu daripada teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan . Terdapat seramai 40 orang ahli yang menyertai kelab ini. Penubuhan kelab ini bertujuan menyediakan pelajar dengan ilmu mempertahankan diri di samping menerapkan rasa kecintaan terhadap seni warisan budaya yang amat berharga.

5. Kelab Squash
Kelab Squash SKSB terdiri daripada 10 orang pelajar yang ditubuhkan pada tahun 2006. Kelab ini ditubuhkan bagi memupuk semangat kesukanan  dan mendedahkan pelajar dengan kemahiran bermain squash. Ia dijalankan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia,Lumut. Kemudahan tempat latihan yang disediakan membolehkan pelajar menguasai kemahiran yang diajar dengan mudah. Berkat dorongan daripada tenaga pelajar yang merupakan anggota TLDM, pelajar-pelajar terus berminat untuk meyertai aktiviti dan latihan yang dijalankan.

6. Kelab Taekwando
Kelab Taekwando telah ditubuhkan di sekolah ini pada tahun 2005. Para pelajar dilatih oleh beberapa orang jurulatih yang diketuai oleh Encik Firdaus Kumar a/l Sukarlinggam yang juga merupakan anggota TLDM. Latihan diadakan sebanyak sekali seminggu selama 3 jam. Pelbagai kejohanan peringkat negeri dan peringkat kebangsaan telah disertai oleh pelajar dari kelab taekwando sekolah ini dan berjaya memperolehi kemenangan seperti di Kejohanan Taekwando Remaja Kebangsaan, Kejohanan Taekwando Remaja Perak (Tertutup) dan Kejohanan Taekwando Jemputan Kedah.

7.  Kelab Glof
Kelab Golf telah ditubuhkan di sekolah ini pada tahun 2007 . Para pelajar dilatih oleh beberapa orang jurulatih yang diketuai oleh Encik Wan Kamaruzzaman yang juga merupakan ”Golfer” yang berkaliber. Latihan diadakan sekali seminggu selama 2 jam. Ahli kelab diperkenalkan dengan teknik-teknik pukulan dari peringkat asas. Kelab ini berjaya menghantar wakil sehingga ke  peringkat negeri bagi sukan anjuran Kementerian Pelajaran sendiri di samping pertandingan luar yang disertai sendiri oleh ahli kelab dengan kerjasama ibu bapa mereka.